Written by Administrator Saturday, 07 November 2009 11:59
30 Oktober , Qortubah - Persatuan Pelajar Melayu Kuwait , dengan kerjasama dari Markaz Jaliyat Masjid al-Kabir, telah mengadakan Haflah Istiqbal Talabah Judud , atau dalam bahasa Melayunya dipanggil Majlis Menyambut Pelajar-pelajar Baru, pada petang Jumaat yang lalu.
Haflah bermula pada jam 3.30 pm setelah semua ahli PPMK berkumpul di dewan serbaguna Bangunan Alif , tingkat 3, Sakan Qortubah.
Seramai lebih 60 orang pelajar telah menghadiri haflah tersebut, dan ini amat menggembirakan pihak pengurusan haflah. Haflah tersebut dipenuhi dengan pelbagai program menarik.

Haflah yang dipengerusikan oleh Akh Ridhwan Jamil dari Singapura, dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Akh Yahya Laesan dari Thailand, kemudian diikuti pula ucapan alu-aluan oleh Presiden PPMK, akh Abdussalam Zainal Abidin dari Malaysia. Haflah diteruskan dengan segmen ta'aruf dengan pelajar-pelajar baru, yang dibahagikan kepada beberapa bahagian kerana tahun ini, bilangan pelajar-pelajar baru agak ramai. Bilangan pelajar baru yang hadir hari itu ialah 16 orang.

Di samping itu, haflah diserikan pula dengan persembahan nasyid oleh kumpulan nasyid yang terdiri daripada wajah-wajah baru. Mereka dilatih oleh kumpulan al-Masaar sendiri. Nasyid yang didendangkan mereka ialah Marhaban.


Selain itu, selepas tamat segmen-segmen ta'aruf bersama pelajar baru, Lajnah Thaqafah wa Tarbiyah PPMK diketuai akh Che Ameir Hamdi dari Malaysia dan akh Pongpat Pulsawat telah mengadakan sedikit permainan berbentuk soalan tentang buti-butir peribadi para pelajar baru. Semua pemenang diberi hadiah lumayan khas daripada Markaz Jaliyat Masjid al-Kabir.
Selepas solat Maghrib berjemaah, haflah diserikan pula dengan kehadiran tiga tetamu istimewa dari Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu Prof Dr Mohd Nasran Mohamad, Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa, mantan Dekan FPI UKM, dan Prof Madya Dr Zamri Arifin, Ketua Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam. Hadirin juga diberitakan bahawa Dr Zamri adalah bekas pelajar Kuwait sendiri seperti mereka, selain diberikan sedikit nasihat dan panduan oleh ketiga-tiga profesor tersebut.

Selepas isya', para pelajar baru menerima hadiah saguhati yang disampaikan oleh Presiden PPMK. Haflah diakhiri dengan sesi bergambar beramai-ramai dan makan malam.

Video beberapa segmen dalam haflah
| < Prev |
|---|